PENGENALAN
Amanat Tuan Guru Hj Abd Hadi ialah suatu sedutan
ceramah umum Hj Abd Hadi Awang di kampung Benggol Peradong, Kuala
Terengganu pada 7 April 1981. Sedutan itu telah dicetak oleh PAS sendiri
untuk edaran.
Daripada bukti kertas putih mengenai Memali
bertarikh 26 Februari 1986, Amanat Hadi telah dicetak dalam empat versi.
Pertama dalam tulisan jawi, dicetak oleh bahagian Penerangan PAS
Kelantan untuk sebaran pilihanraya kecil Selising, Kelantan pada tahun
1983. Versi latar belakang hitam dengan tulisan rumi, dicetak oleh PAS
Pusat dan dua versi lagi (rumi dan jawi) dicetak oleh Sekretariat Pemuda
PAS Pusat. Versi latar belakang hitam dapat dilihat dalam rakaman video
polis mengenai peristiwa Memali pada 19 November 1985. Jika bukan PAS
yang mengedarkannya di Memali, siapakah lagi?
Lebih jelas lagi
Amanat Hadi dikeluarkan dengan restu PAS ialah terdapat versi latar
belakang hitam bertulisan rumi seperti di Memali itu masih digantung di
dalam Masjid Taqwa Batu 6, milik Ketua Dewan Ulamak PAS Terengganu sejak
dahulu hingga ke hari ini.
MENGAPAKAH TIMBUL SEMULA SELEPAS 20 TAHUN BERLALU?
Amanat
Hadi ini sepatutnya tidak timbul lagi selepas Jawatankuasa Fatwa
Kebangsaan yang bermesyuarat di Pekan, Pahang (Februari 1986) memutuskan
bahawa "Amanat Hadi Bercanggah Dengan Islam dan Prinsip Dakwah
Islamiah". (Petikan Utusan Malaysia 20 Februari 1986)
Lebih
jelas, sepatutnya sudah tidak berbangkit lagi selepas Hj Abd Hadi
sendiri gagal menyahut cabaran pengerusi Jawatankuasa Fatwa untuk
bermuzakarah sekiranya tidak bersetuju dengan keputusan Jawatankuasa
Fatwa ini. (Laporan Utusan Melayu 20 Februari 1986)
Sebaliknya
apa yang berlaku ialah Hj Abd Hadi sendiri membuat penafian dalam akhbar
tabloid EKSKLUSIF 21-27 Jun 1999. Beliau mendakwa tidak pernah
mengatakan UMNO itu kafir dan dikatakan pula beliau menjelaskan
batas-batas iman dan kufur yang termaktub dalam buku Mustika Hadis
keluaran Jabatan Perdana Menteri. Seterusnya beliau mencabar untuk
bermuzakarah. Cabaran pengerusi Jawatankuasa Fatwa kenapa tak disambut?
Apabila Hj Abd Hadi menjadi Menteri Besar, lidah rasmi kerajaan PAS
Terengganu Warta Darul Iman (WDI) yang pertama 01 Jun 2000 pula
digunakan untuk menyiarkan kenyataan palsu yang mendakwa "Amanat Hadi
dianggap selesai apabila Majlis Agama Islam Kebangsaan memutuskan tiada
apa-apa kesalahan dari segi agama".
Reaksi daripada kenyataan
ini membayangkan usaha Hj Abd Hadi Awang sendiri cuba menghalalkan
Amanat Hadi yang telah pun diputuskan bercanggah dengan Islam pada tahun
1986 itu. Hal ini tentunya tambah mengelirukan umat Islam. Yang
demikian pertikaian perlu ditimbulkan semula demi mengelak kekeliruan
itu terus menghantui umat Islam. Sebab itu Biro Hal Ehwal Islam (BHEIS)
UMNO Terengganu memutuskan menghantar surat kepada YAB Menteri Besar
meminta bukti seperti dakwaan WDI 01 Jun 2000. Surat BHEIS itu disiarkan
oleh Utusan Melayu 21 Julai 2000. Lebih ketara lagi apabila semua
pimpinan tertinggi PAS tidak mahu menarik balik dan mempertahankan
Amanat Hadi itu. Oleh sebab nampaknya ketara benar PAS mahu terus
mempertahankan Amanat Hadi itu, UMNO mesti sedia berdepan.
ISI KANDUNGAN AMANAT HADI JELAS SELEWENG
Mengapakah
Hj Abd Hadi tidak mengaku ucapan beliau ditujukan kepada UMNO sedangkan
para SATU terang-terang menyebut "Kita menentang UMNO.../...BN bukan
kerana nama UMNO.../...BN".
Bukti ditujukan kepada UMNO lebih
jelas lagi apabila para DUA menyebut "Dan kerana kita berjuang dengan
puak-puak ini". Puak ini itu puak mana lagi kalau bukan UMNO atau BN
seperti yang disebut dalam para SATU di atas?
Bagaimanakah boleh
timbul hukum "Mati Syahid" sedangkan orang UMNO yang ditentangnya itu
tidak kafir? Syarat mati syahid ialah orang Islam melawan orang kafir
harbi iaitu orang kafir yang memerangi agama Islam dan menghalau orang
Islam. (Lihat maksud Al-Quran ayat 8-9 dari surah Al-Mumtahanah)
TRAGEDI AKIBAT AMANAT HADI
Selepas
amanat itu diucapkan pada 7 April 1981, kira-kira setahun kemudian
berlakulah suatu tragedi yang menyayatkan iaitu sebulan sembahyang
Tarawih dua imam dan Jumaat bergilir dalam satu masjid di kampung Gong
Pasir, Besut Terengganu pada bulan Julai-Ogos 1982. Selain daripada
laporan Berita Harian 19 Julai 1982, saya sendiri hadir bersama
jurukamera membuat liputan video tragedi tersebut.
Selepas itu
berlakulah sembahyang Jumaat dua sekampung di 39 mukim berlarutan
sehingga tahun 1999. Walaupun PAS sudah memerintah sekarang namun setiap
sembahyang Jumaat pasti ada sahaja berbagai ketegangan.
Pada 29
Disember 1985 (40 hari selepas peristiwa berdarah Memali 19 November
1985) YAB Hj Abd Hadi memberi ceramah umum di Kampung Raja, Besut
Terangganu. Saya masih menyimpan rakaman dalam bentuk video. Ketika itu
Hj Abd Hadi mendakwa keputusan hukum oleh ulamak PAS Kedah "... Dan
inilah yang telah dinyatakan oleh ulamak-ulamak PAS negeri Kedah kepada
Majlis Fatwa negeri Kedah, bahawa 14 orang sahabat kita yang telah
dibunuh itu adalah syahid (Disambut Allahu Akhbar) dan kita kebumikan
mereka sebagai syuhada', sebagai orang yang mati syahid yang
dikafankan... dan dikafankan dengan pakaiannya yang berdarah,
dikebumikan dengan keadaan tidak disembahyangkan, darah mereka dalam
keadaan hidup; inilah keyakinan kita bahawa mereka adalah syahid". Hukum
PAS ini jelas bercanggah dengan fatwa Jawatankuasa Fatwa negeri Kedah
Darul Aman yang jelas menyatakan tidak syahid maarikah (Utusan Melayu 3
Februari 1986).
Apa yang pelik ialah pengumuman yang dibuat oleh
Hj Abd Hadi "Inilah keputusan Dewan Ulamak PAS Kedah" telah dinafikan
oleh Hj Fadzil Noor dalam Utusan Melayu 7 Februari 1986. Siapakah
sebenarnya yang betul?
Tragedi terakhir yang ada kaitan dengan
Amanat Hadi ialah perjuangan "Mati Syahid Menentang Kerajaan" oleh
kumpulan ajaran sesat al-Ma'unah di Bukit Jenalek, Sauk Perak pada 2-7
Julai 2000. (Lihat Berita Harian 24 Julai 2000)
Banyak lagi
jenayah perpecahan di kalangan umat Islam yang tidak mampu hendak
disenaraikan di sini seperti kubur asing, menikah dua kali, bercerai
suami isteri, tak makan sembelihan orang UMNO, tidak sembahyang mayat
orang UMNO dan lain-lain.
MEMPERMAINKAN HUKUM ALLAH DAN MENYELEWENGKAN FAKTA/REALITI
Hukum
PAS ialah haram dan kafir untuk orang dan HARUS sahaja apabila
menguntungkan PAS. Bukti yang jelas ialah mengenai memerintah negara
secara kongsi kuasa. Amalan politik secara kongsi kuasa antara orang
Islam dengan bukan Islam di Malaysia ini telah bermula sejak sebelum
merdeka iaitu pada tahun 1955. Ia pula bersesuaian dengan contoh Nabi
Muhammad s.a.w mengikat janji dalam pemerintahan Madinah tahun 622
Masehi yang lalu.
Namun PAS pernah mengkafirkan orang Islam UMNO
yang berbuat demikian. Pada bulan Ogos 1963 Dewan Ulamak PAS Kelantan
telah membuat keputusan "Orang Islam yang berkongsi dengan orang kafir
memerintah negara menjadi kafir atau haram". (Lihat kertas putih
kerajaan Malaysia 8 November 1984).
Apabila PAS terlibat sama
maka hukumnya menjadi HARUS (1973 - Kerajaan campuran di Kelantan;
1974-1977 bersama dalam kerajaan BN seluruh negara).
Ayat-ayat
Al-Quran juga sanggup diselewengkan maksudnya. Satu daripada bukti yang
masih tersimpan dalam rakaman kaset ucapan Hj Abd Hadi di Bukit Kulim,
Marang pada 24 September 1980. Beliau menyalahtafsirkan maksud ayat 251
surah al-Baqarah "Walaula daf'ullahin nasa ba'dhahum biba'dhil
lafasadatil ardh" yang diberikan makna "Dan jikalau Allah tidak
menjadikan manusia itu bergaduh, manusia itu berkelahi, manusia itu
berperang di antara satu sama lain nescaya rosaklah muka bumi ini.
Patutnya bila manusia itu bersatu molek, berpakat belaka, dak kelahi dak
berbalah maka jadi molek muka bumi. Tapi Allah Taala kata dalam
al-Quran kalu Allah Taala tak jadikan manusia ini bergaduh nescaya muka
bumi akan rosak". Sedang sebenarnya ayat itu ialah ayat cerita Nabi Daud
yang berjaya membunuh Jalut dan diberikan kuasa memerintah negeri yang
dulunya diperintah oleh Jalut itu. Kesalahan pertama ayat penuh 251
surah al-Baqarah ini tidak dibaca semua dari awal hingga akhir,
sebaliknya dibaca tengahnya sahaja. Yang kedua tafsirannya boleh
difahami sebagai "Tuhan mahu kita bergaduh" telah bertukar maksud asal
daripada ayat cerita menjadi ayat hukum waliazu billah.
Amanat
Hadi menuduh UMNO/BN mengekalkan perlembagaan penjajah sedangkan
sebenarnya perlembagaan negara tidak pernah dikekalkan oleh UMNO dan BN
kerana ia sentiasa dipinda. Sehingga tahun 1995 sebanyak 39 pindaan
telah dibuat. Kerajaan PAS Kelantan sahaja melalui Dewan Undangan
Negerinya telah sebulat suara meluluskan usul mempertahankan
perlembagaan tubuh negeri Kelantan (Berita Harian 12 April 1993).
Kerajaan PAS Terengganu pun nampaknya tidak berusaha hendak meminda
perlembagaan tubuh negeri. Warta Darul Iman ke-15 pada 8 Januari 2001
melaporkan pengakuan YB Hj Harun Taib bahawa pelaksanaan Islam di
Terengganu sudah berjalan walaupun belum meminda perlembagaan. Kalau
sebenarnya hukum haram/kafir kerana mempertahankan perlembagaan, mengapa
urusan meminda perlembagaan negeri Terengganu ini tidak diutamakan?
Sanggupkah PAS menjadi kafir kerana kecuaian itu?
Perlembagaan
tubuh PAS sendiri juga berikrar mematuhi perlembagaan negara. Lihat
fasal 6 ceraian 11 mencatatkan: "Segala tindakan PAS tidak terkeluar
daripada batas-batas perlembagaan dan undang-undang negara". Mengapakah
pimpinan PAS tidak menjelaskan kepada umum bahawa PAS juga tunduk kepada
perlembagaan negara? Semua calon PAS dalam pilihanraya tidak membantah
bayaran wang pertaruhan dan lain-lain syarat yang dikenakan dalam
penamaan calon dalam setiap pilihanraya itu berlaku. Begitu juga segala
faedah daripada hasil peruntukan perlembagaan negara ditelannya belaka.
Mereka bak kata peribahasa "Cakap tak serupa tulis, tak serupa bikin"
ataupun pakai hukum "Waharamun kalau makan seorang, wahalalun kalau bagi
dua". Rela berpura-pura dengan hukum Allah.
Amanat Hadi juga
mencipta hukum menjadi kafir mengatakan politik suku agama suku. Amalan
dalam sistem pemerintahan dan juga perlembagaan Malaysia tidak pernah
memisahkan agama dengan politik. Kedua-dua berjalan serentak dan
seiring. Selepas merdeka kerajaan sendiri yang menjalankan usaha dalam
segala bidang pembangunan negara dan agama. Perlembagaan negara dengan
jelas menyebut raja-raja Melayu selain daripada menjadi ketua agama
(Perkara 3); baginda juga menjadi ketua negara/negeri atau kepala utama
negara (Perkara 32). Ini membuktikan bahawa agama dan politik di bawah
seorang ketua yang sama.
Konsep pemisahan agama dengan politik
juga telah diberikan dalam buku ISLAM & POLITIK kajian ilmiah Dewan
Ulamak PAS Pusat keluaran September 1980. Bacalah muka 19 & 23 jelas
membawa konsep pisah agama dari politik ialah ketua berlainan orang.
Selain daripada itu perlembagaan negara perkara 11(4) mengadakan
peruntukan melarang menyebar akidah agama lain di kalangan umat Islam.
Perkara 12 (2) pula memperuntukkan bahawa wang negara boleh digunakan
untuk kemajuan agama Islam tetapi tidak untuk agama lain.
Pembohongan
terhadap realiti yang jelas mengelirukan ialah mengenai perjuangan
menegak negara Islam. Mingguan Malaysia 13 Ogos 2000 menyiarkan
temuramah YAB Hj Abd Hadi Awang. Beliau mendakwa kononnya PAS tidak akan
bertolak ansur dalam perjuangan menegakkan negara Islam. Apa yang sudah
berlaku pada realitinya ialah DAP menolak pembentukan negara Islam,
tetapi YAB Datuk Nik Abd Aziz Nik Mat menerimanya dengan segala
kesyukuran. (Lihat Utusan Malaysia 22 April 1999 dan Berita Harian 15
Mei 1999).
Lebih jelas lagi permainan politik PAS menipu ahli
dan penyokong-penyokongnya sendiri ialah kempen hendak "Menegakkan
Negara Islam" seperti yang dijaja pimpinan mereka sebenarnya tidak
pernah ada dalam perlembagaan tubuh PAS semenjak dahulu lagi.
Mursyidul
Am PAS, YAB Datuk Hj Nik Abd Aziz Nik Mat juga pernah memberikan hukum
syahid melawan UMNO. Mengikut catatan dalam buku Parti Islam antara
Realiti dan Fantasi oleh Omar Khalid edaran pertama terdapat jelas pada
muka 26 berbunyi begini:
"Saya telah mendengar sendiri daripada
mulut Ustaz Nik Ab Aziz semasa dia mengajar di Masjid Kampung Pulau
Melaka dengan mengatakan JIKALAU MELAWAN UMNO TIBA-TIBA MENINGGAL DUNIA,
MAKA KITA DIKIRA MATI SYAHID. Kaset ucapannya itu tidak diizinkan
kepada saya untuk mengedar kepada orang ramai kerana kononnya sensitif
dan fatwa itu hanya untuk orang dalam semata-mata".
Mahu tidak
mahu Mursyidul Am PAS, YAB Datuk Hj Nik Abd Aziz Nik Mat terpaksa
menerimanya kerana beliau terbukti turut membawa hukum SYAHID yang
bersamaan dengan Amanat Hadi. Beliau juga mempermainkan hukum Allah.
PEMBOHONGAN YANG AMAT NYATA
Selain
daripada mempermainkan hukum Allah dan menyelewengkan fakta/realiti,
banyak bukti yang menunjukkan pembohongan yang amat nyata. Pengarah
Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Terengganu, En. Zakaria Dagang telah
berjanji iaitu beliau akan mengemukakan bukti keputusan Majlis Agama
Islam Kebangsaan bahawa Amanat Hadi tidak bercanggah dengan Islam
(Laporan Utusan Malaysia 23 Julai 2000) Tetapi sehingga hari ini belum
ada apa-apa reaksinya.
Suatu pembohongan yang tidak boleh
dimaafkan ialah penafian sembahyang dua imam. Hj Abd Hadi dalam ceramah
umumnya di Kuala Besut, Terengganu yang dilaporkan oleh Utusan Malaysia
27 Januari 1983 menyebut beliau menafikan berlakunya sembahyang Tarawih
dua imam dan Jumaat bergilir dalam sebuah masjid di Kampung Gong Pasir,
Besut pada bulan Jun-Julai 1982. Hj Abd Hadi mengatakan: "Perkara ini
adalah sengaja diada-adakan oleh kerajaan bertujuan untuk memburukkan
kepercayaan orang ramai kepada parti PAS". Demi Allah saya dan
jurukamera yang dikawal rapi oleh dua buah kereta Land Rover polis Kg.
Raja akan tetap menjadi saksi di hadapan Allah s.w.t bahawa sembahyang
dua imam Tarawih dan Jumaat bergilir dalam sebuah masjid di Gong Pasir
itu BENAR-BENAR berlaku selama sebulan Ramadan 1982. Seluruh ahli jamaah
masjid Gong Pasir kira-kira 80 orang lelaki dan perempuan sebenarnya
mengerjakan sembahyang serentak berlawanan itu. Mengapakah Hj Abd Hadi
sanggup menutup bangkai gajah yang sebesar itu dengan nyiru iklan buatan
sendiri? Demikian seterusnya mengenai Bank Islam. Dulu Hj Abd Hadi kata
tidak bererti kerana ia hanya kulit yang berlambangkan Islam tetapi
sekarang telah memuji dan menggunakannya.
Lebih mudah lagi
diterima oleh orang awam terhadap hujah YAB Hj Abd Hadi apabila beliau
membuat alasan petikan atau rujukan kepada Mustika Hadis jilid pertama
Jabatan Perdana Menteri, walaupun ternyata bohong. Setelah diteliti
berulang kali pada bab Rosak Iman dan Islam, namun tidak ditemui dalam
Mustika Hadis jilid pertama itu tentang rosak iman dan Islam kerana
"Mempertahankan perlembagaan kafir" dan tidak ditemui juga hukum
"Menjadi kafir dengan mengatakan politik suku agama suku" sebagaimana
yang disebutkan oleh Hj Abd Hadi dalam Amanat Hadi itu. Jadi bagaimana
Hj Abd Hadi boleh kata amanatnya selaras dengan apa yang tertulis dalam
Mustika Hadis jilid pertama itu?
PENUTUP
Penyelewengan isi kandungan Amanat Hadi jelas mengelirukan pegangan umat Islam.
Jawatankuasa
Fatwa Kebangsaan yang memutuskan Amanat Hadi Bercanggah Dengan Islam
pada tahun 1986 itu sudah tentu mempunyai alasan yang kukuh. Oleh itu
setiap orang Islam perlu terima dan patuh kepada fatwa tersebut tanpa
ragu-ragu lagi. Ahli Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan terdiri daripada
semua mufti dalam Malaysia.
Article contributed by: Dato' Shafei Daud
petikan daripada :www.geocities.com/freedom_malaysia
Dicopy dari blog amirhamzah64 Apr 9, 2009
0 comments:
Speak up your mind
Tell us what you're thinking... !